Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, inisiatif yang dibangunkan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu akan turut dibantu dua pakar motivasi,  Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad di samping pihak berkaitan bagi mencari kaedah terbaik untuk membantu mereka.

"Yang penting akhirnya ibu tunggal boleh menerima hakikat, bangkit dengan semangat tinggi untuk merubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

"Hal itu kerana kita bimbang kalau mereka kecewa dan putus asa,  akan turut beri kesan kepada anak-anak yang mungkin terabai hingga menjejaskan proses pembesaran dan emosi mereka yang boleh menjurus kepada perlakuan antisosial.

"Jadi sebab itu kita mengambil berat perkara ini kerana kita mahu anak-anak berjaya dalam akademik dan rohani," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Yang hadir sama, isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria merangkap Yang Dipertua Serikandi.

Terdahulu, Ahmad Razif turut menyampaikan bantuan pengurusan kepada kelab-kelab ibu tunggal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini.

Seramai kira-kira 4,000 ibu tunggal yang hadir hari ini menerima bantuan wang RM200 di samping barangan makanan bernilai RM100 dan baucer restoran makanan segera, Chicken Cottage. - UTUSAN ONLINE