Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kaedah pembayaran yang ditetapkan Kementerian Kewangan pada masa ini terlalu tinggi dan memberi tekanan kepada kerajaan negeri terutama dalam menyelaraskan perbelanjaan yang telah dirangka dan dilaksanakan dalam Bajet Terengganu 2019.

Katanya, berdasarkan rekod Terengganu tidak pernah gagal dalam melunaskan hutang kepada kerajaan Persekutuan pada setiap tahun, bahkan nilai hutang yang dimiliki negeri ini juga adalah kecil berbanding negeri lain.

"Selepas kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke negeri ini, kita menerima perkembangan sangat menarik dan positif yang WTP akan dibayar terus kepada kerajaan negeri tetapi beberapa aspek dalam makluman yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu menetapkan Terengganu perlu membayar hutang, sedikit sebanyak akan melibatkan pemotongan WTP.

"Kerajaan Persekutuan perlu berlaku adil kepada kami di Terengganu dan Kelantan, kalau tengok jumlah hutang kita ini lebih kecil berbanding negeri lain yang nilainya sampai tiga kali ganda tetapi, mereka tidak ditekan sebegini. Oleh itu kita berharap Pusat dapat mempertimbangkan kadar yang kami suarakan dalam surat rayuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menerima kunjungan hormat oleh Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri masih menanti maklum balas berhubung surat rayuan penstrukturan semula hutang yang dikemukakan kepada Dr. Mahathir dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri sangat komited dan telus dalam soal perbelanjaan sekali gus bersedia untuk diaudit oleh kerajaan Persekutuan sekiranya timbul isu kebimbangan perbelanjaan WTP itu disalah guna untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Bagaimanapun, beliau tetap berterima kasih atas komitmen kerajaan Pusat yang mengiktiraf negeri ini berhak menerima WTP sebagaimana dalam perjanjian pada 1974.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri menjangkakan akan menerima WTP berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion tahun ini, berdasarkan pengiraan yang dibuat sendiri mengikut harga minyak semasa.

"Jika mengikut amalan biasa, WTP ini akan dibayar dua kali dalam setahun iaitu pada Mac dan September dan kita jangkakan, pada Mac ini wang petroleum itu akan dibayar," katanya. - UTUSAN ONLINE