Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, usaha itu akan digerakkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri, dan beliau telah meminta pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Rahman agar penubuhannya disegerakan.

"Seni budaya pelbagai kaum bukan sahaja penting untuk menarik lebih ramai pelancong tetai juga untuk pendedahan kepada generasi baharu sebagai pewaris," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Perarakan Darat Mazu di Kampung Cina, di sini malam tadi yang memperlihatkan satu lagi warisan silam masyarakat Cina di negeri ini.

Sementara itu, Tun Ahmad Faisal menjelaskan pihaknya akan mengadakan satu bengkel tidak lama lagi dengan menghimpunkan para penggiat dan pencinta seni budaya bagi mendapatkan pandangan mereka untuk bersama menyusun strukur yayasan itu sebelum dilancarkan.

Katanya, melalui penubuhan yayasan itu yang bakal diterajui kalangan yang berwibawa, martabat segala aspek kesenian akan cuba dipertingkatkan termasuk kualiti persembahan agar benar-benar menjadi tarikan.

"Dalam masa yang sama juga perhatian akan diberikan terhadap pembelaan nasib mereka dalam kelompok penggiat atau 'seniman rakyat' yang banyak memberi sumbangan kepada negeri," ujarnya di sini hari ini.

Menurut beliau, selain mengatur atau menyelaraskan persembahan bagi program-program khusus, Menteri Besar meminta akan yayasan turut berperanan mendokumentasikan segala aspek seni budaya tempatan sebagai suatu khazanah sejarah.

"Gerak kerja yayasan ini akan turut didokong melalui sumbangan syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan dan juga syarikat multi nasional, selain peruntukan kerajaan,"ujarnya.

Katanya, Menteri Besar mahukan penonjolan seni budaya diberi keutamaan kerana selama ini, fokus lebih terarah kepada penyediaan prasarana dan promosi dalam aspek produk berkait dengan alam. - UTUSAN ONLINE