Beliau berkata ini terbukti menerusi beberapa penangkapan oleh pihak berkuasa terhadap individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti atau kumpulan keganasan.

“Baru-baru ini terbaca kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengenai penangkapan telah dilakukan terhadap beberapa individu yang (mahu) merosakkan keselamatan negara kita.

“Kita berterima kasih kepada pihak keselamatan yang sentiasa memberi keutamaan kepada perkara tersebut (keselamatan) dan rakyat juga perlu bersatu padu walaupun berbeza latar belakang,” katanya ketika berucap pada program Negaraku @ Komuniti peringkat Perak di sini, hari ini.

Program dua hari yang bermula semalam dirasmikan Menteri Besar PerakDatuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada Jumaat, Mohamad Fuzi berkata sebanyak 48 individu yang dikategorikan sebagai pengganas warga asing (FTF) ditahan oleh pihak berkuasa.

Dalam ucapannya, Salleh berkata rakyat tidak mempunyai pilihan selain daripada mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekarang demi kelangsungan dan masa depan negara.

“Menjadi keinginan rakyat untuk mempunyai pemimpin yang sentiasa memahami kehendak mereka, kerajaan yang mampu menyediakan peluang kerja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata para pemimpin juga bukan hanya perlu turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi dan menyelesaikan sebarang permasalahan tetapi perlu turut memberi penjelasan tentang isu-isu semasa.

Menurutnya, kementerian menerusi Jabatan Penerangan kini giat melaksanakan aktiviti berkonsepkan negaraku 1Malaysia iaitu Negaraku @ Komuniti di seluruh negara.- BERNAMA