Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha itu bagi menceritakan kisah dan peranan perajurit dalam menjaga keselamatan rak­yat serta kedaulatan negara.

Menurutnya, itu juga merupakan salah satu cara bagi memberi pengiktirafan terhadap perju­angan dan pengorbanan pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)

“Pejuang diterbitkan khusus untuk memaparkan kisah-kisah keberanian individu dan pasukan serta tanggungjawab Tentera Darat khususnya RAMD.

“Cuma, pengisian kali ini akan lebih padat, menarik dan menyeluruh berbanding terbitan sebelum ini. Saya percaya kerjasama yang terjalin bukan sahaja menjulang nama baik ATM, malah turut menyemai semangat patriotisme dalam kalangan perajurit baharu serta generasi muda,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Siri 181-2/2016 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Darat, ­Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim serta Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Penerbitan sisipan itu bertujuan menceritakan kepada orang ramai tentang perjuangan dan keperwiraan anggota tentera dalam mempertahankan kedau­latan negara tercinta.