Faktor cuaca, penurunan harga komoditi selain kenaikan kos sara hidup terus membelenggu kelompok terbabit sekali gus terperangkap dalam keadaan terbeban demi meneruskan kelangsungan hidup.
Justeru ikuti laporan khas wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKIFLI WAN YAACOB, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, ZAAIN ZIN dan MOHD LAZIM ENDUT yang mengupas rintihan dihadapi mereka dan kemungkinan lebih terhimpit sekiranya nasib golongan itu dipandang sepi dengan ketiadaan bantuan daripada kerajaan.

 

KUALA TERENGGANU 6 Nov. -  Angin Monsun Timur Laut menyebabkan laut bergelora, hujan mencurah berpanjangan pada setiap penghujung tahun, keadaan itu yang berlarutan selama beberapa bulan di negeri Pantai Timur.

Setiap kali ketibaan musim tengkujuh mengulangi cerita dan suasana kehidupan masyarakat nelayan tradisional yang tidak dapat meraih rezeki di samping penoreh getah dan pekebun te­rutamanya sawit yang makin terjejas sumber pencarian mereka.

Malah keadaan itu diburukkan lagi apabila seiring dengan penyusutan harga komoditi pada tahap membimbangkan, tidak setimpal dengan penat lelah dicurahkan sekali gus menerbitkan suasana muram terutama di kawasan Felda.

Keluh-kesah berhubung sum­ber pendapatan yang makin mengecil, makin jelas kedengaran apatah lagi mereka mengharapkan perubahan lebih baik setelah turut membantu menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kebanyakan mereka adalah dalam kalangan orang Melayu, kelompok masyarakat yang sebahagian besar masih bersarang dengan kemiskinan dan masih belum dapat keluar daripada lingkaran yang makin menye­sakkan kehidupan mereka.

Secara umum, penglibatan mereka tidak bercorak komersial dengan sumber pendapatan utama itu turut bergantung kepada cuaca, juga perubahan harga yang tidak terkawal dan di luar jangka.

Nasib mereka selama ini ba­nyak dibantu melalui pelbagai inisiatif kerajaan jika keadaan memerlukan.

Namun, fokus kerajaan baharu terhadap pembelaan nasib masyarakat dalam kategori luar bandar ini yang memberikan kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk menerajui negara masih belum jelas apatah lagi terhadap kelompok terbabit.

Dalam keadaan kerajaan dikatakan sedang berhempas pulas menghadapi kekangan kewangan kerana menanggung bebanan hutang negara, mereka tidak boleh lagi berharap apa-apa lagi pemberian yang lazimnya digambarkan sebagai dedak dan gula-gula politik sebelum ini.

Mungkin sudah tiada apa lagi untuk mereka, apatah lagi, kini satu persatu bantuan yang turut disasarkan kepada golongan berpendapatan kecil ini diberi baya­ngan akan dikurangkan, ditarik balik, dihentikan atau dimansuhkan.

Kemerosotan sumber rezeki dan peningkatan harga barangan semakin membuatkan golongan ini paling terhimpit dan tertekan.

Langkah penyelesaian untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan yang turut dikaitkan dengan sikap dan kegagalan pendekatan kerajaan mungkin tidak berkesudahan, dan cerita tentang nasib mereka akan kembali berulang.