Justeru, pengwujudan Program Homeroom secara tidak langsung membantu kejayaan dan kecemerlangan MRSM Tun Ghafar Baba.

Homeroom merupakan unit yang dianggotai oleh sekumpulan pelajar sebaya yang menjalani hidup bersama dalam suasana persaudaraan di bawah kelolaan seorang guru penasihat yang berfungsi sebagai pembimbing dan penjaga sepanjang sesi persekolahan.

Seorang guru, Siti Kalsum Md. Junid, 57 yang kini memasuki tahun ke-32 menjadi tenaga pengajar di sekolah itu berkata, dia se­ring menganggap pelajar-pelajar sebagai anaknya sendiri.

“Siapa yang tidak mahu melihat anak mereka berjaya dalam bidang akademik?, apabila kita menganggap mereka ini seperti anak sendiri, kita akan bersungguh-sungguh mendidik mereka.

“Di sekolah ini juga, gabungan antara guru yang muda dengan mereka yang senior menyebabkan terjalinnya persepakatan dan saling bertukar pendapat demi masa depan pelajar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru, Rosni Mohamad, 52, yang berkhidmat di sekolah tersebut sejak tahun 1992 memberitahu, disiplin dalam kalangan pelajar akan memastikan kejayaan mereka.

“Untuk berjaya dalam bidang akademik, aspek disiplin haruslah dijaga kerana jika seseorang pelajar sentiasa menepati masa dan me­ngikut peraturan sedia ada, secara automatik mereka akan cemerlang.

“Walaupun kadangkala terdapat beberapa kekangan yang harus diharungi, namun kita sentiasa menyelesaikan sesebuah masalah menerusi perbincangan tanpa mengambil keputusan ter­buru-buru,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Badan Wakil Pelajar MRSM Tun Ghafar Baba, Muhammad Hazrul Akmal Mohd. Hazarudin, 17, sedar akan tanggungjawabnya untuk menjadi contoh kepada kira-kira 900 pelajar sekolah tersebut.

“Kami memang telah dididik untuk sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal, menjadikan saya berkeyakinan untuk membantu serta menjadi contoh kepada pelajar lain.

“Lagipun, pelajar-pelajar di se­kolah ini juga dilihat mempunyai kematangan atas didikan para guru, secara tidak langsung memudahkan segala proses pembe­lajaran,” katanya.

Selain itu, rakannya, Muhammad Hilmi Primuharsa Putra, 17, berkongsi pengalamannya menjadi pelajar sekolah tersebut berbanding tempat pengajiannya sebelum ini.

“Dari segi pembelajaran memang mempunyai perbezaan kerana di sini, saya lebih bersemangat dan serius untuk belajar setelah melihat kejayaan pelajar-pelajar tahun lalu,” jelasnya.

Menurut seorang lagi pelajar, Mohammad Nazrul Abdul Jhani, 17, dia berasa seronok untuk me­nimba ilmu di sekolah berkenaan atas beberapa faktor.

“Antaranya, guru sanggup untuk mengadakan sesi pembelajaran meskipun pada waktu malam. Mereka tidak pernah mengeluh, malah sentiasa bersedia untuk membantu kami,” ujarnya.