Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, karya agung seperti Badang, Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Fatimah, Tun Teja dan Raja Bersiong antara contoh yang sarat dengan nilai warisan budaya yang boleh diketengahkan.

Menurutnya, karya-karya tersebut tidak banyak ditampilkan oleh penerbit filem dan drama tempatan pada masa kini berbanding zaman filem hitam putih pada era 50-an hingga 60-an.

“Penerbit zaman kini lebih mempersoalkan keuntungan atau tarikan tontonan. Memang tidak dinafikan keuntungan dan tarikan penonton begitu penting, namun bagaimana penerbit di era 50-an hingga 60-an boleh menggarap filem daripada karya agung tanpa memikirkan keuntungan.

“Ramai dalam kalangan penerbit ketika itu bukan berbangsa Melayu, namun mereka meletakkan warisan budaya sebagai antara kandungan dalam filem yang mengangkat karya agung sebagai sesuatu yang penting dan ini perlu kita kaji,” katanya dalam sesi pertama pembentangan bertajuk Industri Filem, TV dan Multimedia pada Wacana Prakongres Budaya 2017 bertemakan Warisan Budaya dan Industri Kandungan Kreatif di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Ahli Panel yang terlibat ialah Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh; penerbit dan pe­ngarah filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba; Pengarah Urusan Les’ Copaque dan Penerbit Upin Ipin, Burhanuddin Md. Radzi; pensyarah Jabatan Komunikasi UIAM, Dr. Shafizan Mohamaed dan pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Mohamad Md. Yusof.

Dalam pada itu Shafizan berkata, kajian akademik dan kajian pasaran perlu dilakukan secara terperinci bagi menentukan bentuk budaya yang ingin dikete­ngahkan dalam produk-produk industri kreatif.

Katanya, bentuk budaya yang hendak diketengahkan perlu di­rangka sebaik mungkin supaya memberi impak terbaik apabila diaplikasikan dalam kandungan produk industri kreatif.

“Kita perlu mengkaji dengan melihat bagaimana negara maju seperti Korea mengadaptasikan budaya mereka dari segi pemakanan dan pemakaian di mana akhirnya anak-anak muda kini terdedah kepada makanan dan fesyen dari negara itu,” katanya.

BUDAYA