Baginda bertitah, amalan tersebut merupakan asas kepada pembinaan sebuah kehidupan berkeluarga yang bahagia berlandaskan tuntutan agama yang benar.

“Malah ia mampu membawa kepada ketenangan dan ketenteraman jiwa kepada ahli-ahli keluarga itu. Maka sebab itu, anak-anak yang merupakan pewaris kepada kepimpinan pada masa hadapan perlulah diberi seberapa banyak pendedahan dan dididik untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli menyampaikan sumbangan peruntukan tahunan MAIPs sebanyak RM150,000 kepada Sekolah Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyyah (MADI), Jejawi Dalam di sini baru-baru ini.

Sumbangan itu diterima oleh mudirnya, Borhanuddin L. Abdullah. Turut mengirigi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Bersempena program tersebut, turut disampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 120 orang asnaf terpilih yang bermastautin dalam kawasan Jejawi dan sekitarnya dengan masing-masing menerima sebanyak RM600 seorang. - UTUSAN ONLINE