Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan di bawah kepemimpinan beliau telah meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bagi menentang ancaman tersebut.


Beliau berkata, usaha melindungi rakyat Malaysia juga meliputi sebahagian daripada aspek menangani ancaman berita palsu.


“Berita palsu ini sudah tentu memberi ancaman kepada keselamatan dan kita telah melihat contoh di serata dunia, bertentangan dengan prinsip Zon Aman Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), berita palsu telah menjadi alat kepada campur tangan kuasa asing. Peliknya, sesetengah kepemimpinan pembangkang hari ini mengalu-alukannya. 


“Sebagai rakyat yang patriotik, saya boleh memberitahu bahawa kerajaan pimpinan saya tidak mahukannya. Kami tidak berkompromi soal kedaulatan negara dengan membenarkan negara atau individu dari luar memberitahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Putrajaya 2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) 2018 di sini hari ini.


Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta timbalannya, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum. - UTUSAN ONLINE