Namun jika dinyanyikan oleh kumpulan muzik yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), sudah pasti agak luar biasa.

Persembahan anggota US Paci­fic Fleet Band yang menyanyikan lagu Assalamualaikum Ustazah yang dipopularkan kumpulan muzik Khalifah itu dapat disaksikan menerusi rakaman video berdurasi lima minit 52 saat yang kini tular di media sosial.

Anggota tentera terlibat membuat persembahan berkenaan di Panggung Eksperimental Fakulti Sains Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sempena program Eksesais Pacific Partnership 2017 (PP17) anjuran Kementerian Pertahanan hari ini.

Kumpulan kugiran dikenali sebagai Pipeline dianggotai oleh Brent Mitchell (vokalis), Ray Lappoon, Trans Stanley, Mike DeLorean dan Paul Tomson, ter­nyata mampu menyanyikan lagu berkenaan dengan baik sehingga mendapat sorakan gemuruh penonton.

Selepas membuat persembahan itu, vokalis kumpulan itu, Mitchell berkata, dia berbangga hadir ke negara ini dan banyak belajar mengenai Malaysia dan memberikan satu pengalaman berharga buat mereka.

“Kami harap anda semua bergembira dengan persembahan ini dan kehadiran kami di sini untuk PP17 merupakan simbol persahabatan antara dua negara,” katanya.