Ketua projek, Ahmad Fakhruddin Ahmad Ridzuan, 33, berkata, hujan lebat bermula pagi Isnin lalu, dan dia menyedari ternakan kekurangan oksigen kira-kira pukul 8 malam pada hari sama selepas ikan-ikan yang sudah boleh dituai itu mula terapung dalam keadaan tercungap-cungap.

"Seramai 16 peserta terlibat dalam projek dengan menternak tilapia, baung, patin  dan keli tetapi tiga peserta yang paling teruk terjejas termasuk dirinya kerana melaksanakan projek dalam skala lebih besar iaitu masing-masing mempunyai 12 petak sangkar.

"Jadi saya pasang kincir (paddle wheel) untuk tingkat kadar oksigen dalam air tapi menjelang pukul tiga pagi keesokannya ada ikan yang sudah timbul kerana mati, dan semakin banyak terapung," katanya.

Menurut Ahmad Fakhruddin, ikan yang diternak di bawah projek itu dibekalkan kepada Pasar Binjai, Pasar Kerteh dan pemborong dari Bukit Goh, Kuantan, Pahang dengan harga borong RM10 sekilogram untuk tilapia dan patin, RM18 untuk baung dan RM6 untuk keli.

Akibat dari kejadian tersebut, dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM12,000 dengan jumlah ikan yang mati dianggarkan seberat 1.24 tan.

Rentetan insiden itu, Ahmad Fakhruddin merayu agar ada pihak yang berkaitan dapat menyalurkan bantuan untuk pembelian benih dan makanan ikan agar mereka dapat mengusahakan semula.

Sementara itu Pengarah jabatan Perikanan Negeri, Zawawi Ali ketika dihubungi memberitahu, pihaknya membantu peserta yang terlibat dengan memasarkan baki ikan yang ada sebagai mengurangkan kos kerugian yang dialami manaka bantuan benih dan makanan ikan akan disalurkan apabila keadaan persekitaran benar-benar sudah pulih. - UTUSAN ONLINE