Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Ahmad Shah atas pe­nganugerahan yang diberikan dan ia pasti menjadi kenangan paling indah serta pencapai­an peribadi membanggakan dalam kehidupannya.

“Anugerah ini adalah tanda aras tertinggi buat wartawan wanita dan bagi pihak wartawan hiburan, pengiktirafan ini sebagai satu penghormatan buat kerjaya kami yang sememangnya amat dekat dalam membantu perkembangan bi­dang kesenian, perfileman dan seni kreatif dalam negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain menjalankan tugas hakiki sebagai seorang wartawan dan Presiden WHAM, beliau adalah individu yang cukup aktif dalam bidang deklamator puisi di peringkat kebangsaan.

Semenjak zaman persekolahan, Tengku Khalidah merupakan antara pelajar yang bersaing di pentas Sayembara Puisi Kebangsaan mewakili Terengganu dan Wilayah Per­sekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu, Tengku Khalidah juga adalah Juara Pengacara Jemputan Nona pada 1998 selepas beberapa tahun Puan Sri Normala Shamsuddin menyandang gelaran yang sama dalam program anjuran TV3 itu.

Sementara itu, vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, turut bergelar Datuk setelah dianugerahkan DIMP dalam istiadat penganugerahan yang sama.