Pelantikan itu dibuat selepas dipersetujui oleh kerabat dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang bersidang di Kuala Lumpur semalam.

Pengumuman berhubung pelantikan berkenaan dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

TIMBALAN Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahm
TIMBALAN Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahm 

Majlis itu turut dihadiri Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Muad’zam Shah; Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah dan ahli-ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Tengku Abdul Rahman bertitah, majlis pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang akan diadakan di Istana Abu Bakar Pekan pada 15 Januari ini.

Baginda bertitah, dalam keadaan yang dukacita, baginda dan keluarga menerima hakikat bahawa Sultan Ahmad Shah tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai raja pemerintah kerana kegeringan.

“Menyedari keadaan itu, saya dan keluarga telah bersependapat untuk cadangkan kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri supaya Tengku Abdullah dilantik sebagai pengganti kepada paduka ayahanda sebagai Sultan Pahang keenam.

“Jumaah Pangkuan Diraja Negeri yang bersidang semalam telah meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang dengan memasukkan Perkara 9A yang baharu yang memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri untuk menurunkan tahta kerajaan kerana kegeringan,” titah baginda.

Tengku Abdullah, 60, merupakan anakanda keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah serta Almarhumah Tengku Ampuan Afzan.

Baginda yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975.

Ketika Sultan Ahmad Shah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang.

Baginda sekali lagi dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016.

Tengku Abdullah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986. - UTUSAN ONLINE