Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, sasaran bagi plat itu dijangka tinggi berbanding nombor pendaftaran lain kerana terdapat tender yang mencecah nilai RM500,000 bagi sebuah kenderaan termasuk bagi KEN 4 (KENA).

"Sebelum ini rekod punggutan tender tertinggi bagi plat pendaftaran kenderaan di negeri ini adalah membabitkan siri KEL sahaja mencecah RM2 juta.

"Bagaimanapun, melalui nombor pendaftaran KEN itu nanti, pemilik kenderaan boleh menyambung hingga menjadi huruf lain agar menjadi huruf plat lebih menarik perhatian ramai," katanya pada sidang media di Program Bubur Kanji Perdana Ramadan 2018 di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jalan Kuala Ketil di sini, hari ini.

Di antara pihak lain menyertai program itu, termasuk Jabatan Penerangan Daerah Kuala Muda, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, Econsave Bandar Puteri Jaya Sungai Petani, Syarikat Adabi, Saudi Gold dan Ikatan Mandailing Malaysia - Malaysia (Imami).

Menurutnya, ada juga dalam kalangan orang ramai ingin mendapatkan nombor itu menjadi huruf KEN 1 dan nombor 1 hingga 9 mendapat permintaan paling tinggi.

“Mungkin kali ini, ada di orang ramai ingin mendapatkan kenderaan sendiri menggunakan nombor KEN9999 dan sebagainya.

"Di sebalik keghairahan orang ramai tender pada siri nombor pendaftaran kenderaan yang mereka sukai itu, peraturan wajar dipatuhi seperti yang ditetapkan oleh JPJ," katanya.

Beliau juga berharap dengan adanya program seumpama ini, ia boleh mendekatkan hubungan lebih mesra antara kakitangan JPJ dengan masyarakat amnya.

Mengenai kempen keselamatan jalan raya menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti, beliau berkata, kempen tersebut bakal diteruskan dan sebarang kemalangan dapat dicegah jika pemandu dapat membawa kenderaan masing-masing secara berhemah. - UTUSAN ONLINE