Menteri Perumahan dan Ke­­ra­jaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, malah jumlah pakaian tersebut akan ditingkatkan daripada 6,000 kepada 9,000 pasang untuk memenuhi keperluan anggota-anggota bomba.

Beliau berkata, keadaan pa­da masa kini amat mendesak kerana pakaian tersebut diperlukan bagi menggantikan baju lama yang tidak memenuhi standard dan piawaian ditetapkan.

“Pada awalnya nak buat 6,000 pasang, namun saya min­ta dikaji supaya jumlah itu di­tingkatkan kepada 9,000 pasang. Ini berikutan kita memerlukan stok jika ada yang rosak. Kita juga memikirkan kegunaan untuk jangka panjang,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin (PBSMarin) di penempatan semula nelayan di Kampung Pak Mayong, Tok Bali di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan­ Ketua Pengarah (Operasi) Bom­ba, Datuk Amer Yusof dan Pe­ngarah Bomba negeri, Nazili Mahmood.

PBSMarin, dianggotai nelayan adalah yang pertama ditubuhkan di negara ini bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat di laut dengan Tok Bali menjadi kawasan perintis.

Akhbar sebelum ini me­la­porkan Suruhanjaya Pence­ga­han Rasuah Malaysia merampas 6,000 pasang baju kalis api bernilai RM13.5 juta selepas kontraktor dilantik jabatan tersebut membekalkan pakaian yang be­risiko kepada anggota bomba biar­pun bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.

Malah, sembilan balai bomba di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api yang kritikal beri­kutan tiada pembelian baharu sejak dua tahun lalu sehingga memaksa anggota terbabit menggunakan pakaian usang atau berkongsi dengan rakan yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.

Sementara itu, Zuraida berkata, inkues kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Subang Jaya, Selangor, Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah langkah terbaik untuk me­­mastikan keluarga mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Saya difahamkan keluarga Allahyarham juga sudah melantik lima peguam bagi kes itu selain peguam pemerhati daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Proses inkues mewakili perwakilan yang lebih besar kerana semua pihak akan disiasat dan Mahkamah Koroner akan membuat keputusan,” katanya.