Perkara itu termasuk menjadi penaja dalam penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 (KL2017) dengan sumbangan ber­­nilai RM7.5 juta dan dengan penajaan itu, sekali gus TNB dikenali sebagai Rakan Rasmi Tenaga KL2017.

Ketua Pegawai Maklumat TNB, Fazil Ibrahim ketika berucap pada Larian Obor KL2017 berkata, sempena penganjuran sukan tersebut, TNB akan membuka bilik gerakan di ibu pejabat TNB yang akan bero­perasi 24 jam.

Larian Obor sempena KL2017 Insin lalu itu melibatkan kira-kira 500 warga kerja TNB daripada pelbagai persatuan dan kesatuan dalaman TNB seperti Pelitawanis, Kelab Kilat, bahagian-bahagian di TNB dan juga warga kerja sukarela. Mereka memulakan larian dari Dataran Vibrant di ibu Pejabat TNB di sini dan berakhir di Kilang Ajinomoto di Jalan Kuchai Lama.

Larian sejauh 7.5 kilometer (km) itu turut disertai 100 peserta daripada jawatankuasa penganjur Sekretariat Sukan SEA Malaysia (MASOC).

Larian Obor ini turut melibatkan beberapa atlet negara yang juga warga kerja TNB seperti Faiz Helmi Jali, Nik Aiman Nik Rozemi, Shahril Saabah dan S. Kumar daripada sukan hoki.

Tambah Fazil, buat julung kali dalam temasya Sukan SEA, TNB juga menjadi rakan penaja program ‘Satu Pingat, satu Pokok’ yang dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

“Program tersebut bertujuan menyemarakkan inisiatif hijau, se­kali gus meningkatkan sema­ngat ‘bangkit bersama’, bukan sahaja dalam bidang sukan malahan dalam pemuliharaan alam sekitar.

“Sebanyak 5,249 pokok yang mewakili jumlah pingat bakal direbut oleh atlet sepanjang sukan berprestij ini. Program ini dijayakan bersama MASOC,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika melancarkan Acara Larian Obor KL2017 laluan Lembah Pantai-Seputeh berharap se­mangat yang ditonjolkan oleh TNB dalam bidang sukan akan diteruskan termasuk dalam acara sukan lain.

“Semangat yang diminta oleh kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap akan berterusan sehingga obor dise­rah­kan ke Parlimen Seputeh.

“Saya berharap Malaysia mampu membawa pulang pingat emas dan menjadi juara dalam Sukan SEA kali ini,” katanya.