Bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengumuman Bajet 2018 oleh kerajaan BN ketika itu ialah memanjangkan tempoh mula bayar pinjaman dari enam kepada 12 bulan (selepas tamat pengajian). 

Katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Lenggong, ini bermakna semua peminjam yang baru tamat belajar akan mendapat kemudahan tersebut.

“Langkah ini dulunya dibuat antara lain bagi memberikan kemudahan kepada graduan yang baru tamat belajar apabila mereka merungut perlu membayar semula pinjaman pendidikan mereka sedangkan mereka belum mempunyai pekerjaan. 

“Jadi bagi memudahkannya, PTPTN ketika itu memberikan kemudahan dengan memanjangkan tempoh mula bayar dengan anggapan ia mampu memberi peluang kepada graduan ini mencari pekerjaan selepas tamat belajar atau memulakan perniagaan tanpa gusar dengan apa-apa tindakan yang akan diambil oleh PTPTN.

"Jadi polisi ini baik sebenarnya dan membantu ramai peminjam serta selesaikan pelbagai isu berbangkit oleh pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE
 

KENYATAAN MEDIA
1. Langkah memberikan kemudahan Grace Period bukan suatu langkah baru, ia sudah dilaksanakan sekian lama. Namun apa yang dilakukan sebagaimana pengumuman bajet 2018 oleh Kerajaan BN ketika itu ialah memanjangkan tempoh mula bayar pinjaman daripada 6 bulan ke 12 bulan. Ini bermakna peminjam yang baru tamat belajar mendapat kemudahan ini. 

2. Langkah ini dulunya dibuat antara lain, bagi memberikan kemudahan kepada graduan yang baru tamat belajar apabila mereka merungut perlu membayar semula pinjaman pendidikan mereka sedangkan mereka belum mempunyai pekerjaan. Jadi bagi memudahkannya, PTPTN ketika itu memberikan kemudahan dengan memanjangkan tempoh mula bayar dengan anggapan ia mampu memberi peluang kepada graduan ini mencari pekerjaan selepas tamat belajar atau memulakan perniagaan tanpa gusar dengan apa apa tindakan yang akan diambil oleh PTPTN. Jadi polisi ini baik sebenarnya dan membantu ramai peminjam serta selesaikan pelbagai isu berbangkit oleh pelbagai pihak.

3. Dalam PTPTN menyelesaikan isu terbabit dan memberikan kemudahan ini, PTPTN waktu itu tahu bahawa akan berlaku penurunan kutipan. Bagaimanapun PTPTN waktu itu, melakukan langkah penguatkuasaan yang lain antaranya ialah CCRISS dan mengenakan sekatan imigresen . Melalui cara ini, pengurangan yang berlaku itu akan ditampung menerusi langkah penguatkuasaan yang berkenaan termasuk beberapa program, pemberian insentif diskaun kepada yang membuat bayaran balik sebanyak 20% atau 10 % dan aktiviti promosi lain yang PTPTN lakukan. 

4. Saya setuju bahawa, penurunan jumlah kutipan ini disebabkan oleh banyak faktor. Oleh itu, kalau menyalahkan Najib Razak atau polisi kerajaan dahulu ia adalah tidak adil. 

5. Justeru itu saya tetap mengatakan bahawa antara penyumbang besar kurangnya jumlah kutipan ialah apabila penghapusan sekatan imigresen itu dibuat dan ramai terpengaruh dengan janji untuk polisi baru membayar pinjaman ditangga gaji RM4000.00 . Ini juga antara punca yang sepatutnya pihak Kementerian Pendidikan tidak boleh selindung atau nafikan.

6. Saya menjangkakan bahawa PTPTN tidak akan mencapai angka RM4 Bilion kutipan tahun ini kerana polisi barunya. Barangkali hanya sekitar RM2.7 Bilion sahaja tahun ini. Ini merosot berbanding RM3.4 Bilion pada 2016 dan RM3.985 Bilion 2017 lalu. Maka, usaha usaha lebih agresif termasuk promosi dan tingkatkan kesedaran mesti dilipatgandakan, dan tidak wajarlah asyik menyalahkan dahulu sahaja.

6. Kemudian buatkan keputusan segera polisi yang mereka cadangkan untuk mulakan bayaran ditangga gaji RM4000 sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak. Ini penting agar ia tidak mempengaruhi pemimjam.

7. Kemudian saya ingin cadangkan agar laksanakan semula polisi sekatan imigresen kerana ia penting untuk meningkatkan jumlah kutipan. Polisi melepaskan sekatan imegresen hanya untungkan mereka yang telah mendapat pinjaman dan merugikan banyak pihak lain terutama pelajar baru yang ingin mendapat pinjaman. Saya ingin nyatakan bahawa sehingga April 2017 sejumlah RM1.9 Bilion dikutip melalui senarai hitam sekatan imigresen PTPTN perolehi. Bayangkan jumlah ini boleh menampung ramai pelajar yang memerlukan pinjaman.

YB DATO DR SHAMSUL ANUAR NASARAH 
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Ahli Parlimen Lenggong