Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, penjawat awam yang mencatat markah bawah 60 daripada markah penuh 100 dalam penilaian 2015 berisiko dikenakan tindakan itu.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun memberi peluang kepada penjawat awam yang mencatat markah rendah untuk memperbaiki diri.

Menurutnya, selain motivasi dan kaunseling, penjawat awam tersebut juga diberi peluang untuk bekerja di bawah penyelia baharu sebelum dikenakan tindakan pemberhentian kerja.

“Jika penjawat awam berkenaan masih gagal memperbaiki mutu perkhidmatan, maka mereka berdepan tindakan di bawah dasar pemisah,” katanya dalam sesi bersama media mengenai tindakan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2014 siri ketiga di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ali berkata, sebanyak 2,943 daripada 1.6 juta orang penjawat awam telah mencatat markah rendah dalam penilaian yang dijalankan untuk prestasi 2014.

Beliau berkata, kebanyakan penjawat awam yang mendapat markah rendah adalah mereka yang sering ponteng kerja atau melepak di kantin semasa waktu kerja.

“Penjawat awam dengan markah rendah ini adalah terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk mereka yang sudah mempunyai pengalaman,” katanya.