Turut disahkan cedera terkena tembakan dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu ialah seorang lelaki berusia 30-an yang berada di tempat kejadian.

Difahamkan, terdapat seorang lagi mangsa lelaki cedera dalam kejadian itu bagaimanapun tidak diketahui kecederaan yang dialaminya.

Polis sedang menyiasat semua kemungkinan termasuk pembabi­tan kongsi gelap, pembunuh upahan dan dendam dalam kejadian ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mang­sa berusia lingkungan 40-an yang sedang menunggu anaknya di hentian bas disahkan mati di lokasi kejadian selepas ditembak suspek yang membonceng motosikal.

“Dalam kejadian berkenaan, seorang lagi lelaki telah terkena tembakan di bahagian belakang badan namun keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedang diteruskan oleh Unit Forensik di lokasi kejadian dan kita sedang giat mengenal pasti identiti kedua-dua suspek serta menyiasat semua kemungkinan berhubung kejadian ini termasuk pembabitan kongsi gelap,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Azim berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan dia hanya sempat melihat dua suspek bermotosikal itu memakai pakaian dan topi keledar berwarna hitam.

“Saya dengar bunyi tembakan dan kemudian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan yang kelihatan lebih daripada tiga das,” ujarnya.