Dalam masa sama, Perdana Menteri turut memberi peringatan kepada pemaju supaya tidak me­mentingkan keuntungan se­mata-mata dalam merancang se­se­buah pembangunan.

Menurut beliau, kesan terhadap alam sekitar adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam rancangan pembangunan justeru adalah mustahak untuk pemaju mematuhi segala peraturan di­te­tapkan.

“Soal penguatkuasaan perlu di­beri perhatian selain semua ke­per­luan kepada projek pemba­ngunan seperti anjakan (setback) sungai perlu dipatuhi.

“Apa-apa syarat perlu dikenakan untuk mengelak pemba­ngunan yang dirancang tidak mem­bawa akibat yang boleh menjejaskan keadaan alam sekitar dan boleh menjadi lebih buruk pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan bertemu mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan di sini yang menempatkan kira-kira 200 mangsa di sini hari ini.

Terdahulu, Najib yang tiba di sini bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut diberi taklimat ber­kenaan situasi semasa banjir oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di sini.

Beliau turut berkesempatan meninjau situasi banjir di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh dalam lawatan separuh hari tersebut.

Dalam majlis sama, Rosmah turut menyerahkan bantuan kepada dua agensi penyelamat bagi keperluan mangsa banjir masing-masing sebanyak RM50,000 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan RM60,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).