Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kekurangan pemandu bas menyebabkan kebanyakan bas ekspres yang sedang dalam perkhidmatan tidak mempunyai pemandu kedua.

“Ini menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut yang melibatkan bas ekspres kerana hanya seorang pemandu yang bertugas dan kadangkala perjalanan adalah pada waktu malam dan memakan masa yang panjang membuatkan mereka hilang fokus.

“Ada juga pemandu bas yang sengaja tidak mahu mengambil pemandu kedua kerana mengejar upah perjalanan yang sedikit dan tidak mahu berkongsi de­­­ngan pemandu lain,” katanya kepada pemberita dalam pelancaran Makmal Transformasi Bas Eks­pres di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar.

Tambah Nancy, penelitian semula terhadap kebajikan dan kemudahan pemandu bas juga perlu dilakukan bagi menarik minat belia untuk menjadikan pemandu bas sebagai kerjaya.

“Dengan perjalanan yang jauh dan panjang, lebih bagus jika ramai anak muda yang menjadi pemandu bas kerana mereka masih bertenaga dan fokus.

“Oleh kerana 66 peratus daripada kemalangan bas ekspres adalah disebabkan kecuaian atau kesilapan manusia, jadi semua perkara ini perlu dibincangkan semula bagi memastikan kadar kemalangan bas ekspres dapat dikurangkan sete­rusnya mengembalikan keyakinan rak­yat kepada sistem pengangkutan awam negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, kerajaan tidak mahu terburu-buru dalam memuktamadkan keputusan mengharamkan perkhid­matan teksi motosikal Dego Ride.

“Kita lihat perkhidmatan ini juga merupakan inovasi yang mungkin memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah.

“Jadi sebarang kata putus bertulis masih belum dikeluarkan setakat ini,” katanya.