SHAHUL HAMID ABD. RAHIM

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, tidak boleh dinafikan bahawa kewujudan teknologi tersebut banyak membantu dan membawa manfaat kepada pengguna termasuk orang ramai.

“Peringkat awal ini, kerajaan boleh memulakan usaha untuk mewajibkan kenderaan awam serta agensi yang terlibat dalam aktiviti penguatkuasaan.

“Banyak kelebihannya, kerana penggunaannya oleh pihak berkuasa di luar negara banyak membantu khususnya berkaitan aspek pendakwaan,” katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut juga berupaya melindungi kepentingan dan keselamatan penggunanya serta pihak penguatkuasa.

“Jika sesuatu kejadian itu dirakam, maka soal siapa betul atau siapa salah dapat dibuktikan dengan lebih mudah.

“Berbanding hanya dengan percakapan dan aduan, pesalah mungkin boleh terlepas daripada sebarang hukuman,” ujarnya.

Beliau menambah, malahan kesedaran orang ramai terhadap penggunaan dashcam di negara ini juga sudah cukup membuktikan alat tersebut mampu membawa kebaikan dan kelebihan kepada pemiliknya.

“Penggunaannya yang lebih meluas sedikit sebanyak membuatkan orang ramai termasuk pengguna jalan raya untuk bersikap lebih berhati-hati dengan sebarang tindak tanduk kerana semuanya dirakam dan boleh ditular.

“Pada masa akan datang, cadangan tersebut juga boleh diselaraskan ke kelompok lebih besar,” ujarnya.