Menurut calon BN Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tempat tersebut mempunyai esplanade, homestay dan kesegaran makanan laut sebagai tarikan kepada pelancong luar.

"Oleh itu, kita perlu mengeksploitasi sumber yang ada ini untuk menjana pendapatan khasnya kepada golongan nelayan di sini.

"Kerajaan mempunyai banyak dana untuk membangunkan pelbagai industri termasuk ekonomi yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat," katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Esplanade Telaga Air, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mempunyai banyak dana untuk membangunkan pelbagai industri termasuk ekonomi.

"Justeru itu, penduduk mesti mahir dalam ekonomi digital yang sangat penting pada hari ini.

"Malah kepentingan ekonomi digital ini sentiasa ditekankan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memberitahu, berdasarkan respons positif pengundi Parlimen Santubong sepanjang tempoh berkempen adalah tidak mustahil BN akan mengekalkan kecemerlangan di kerusi itu. - UTUSAN ONLINE