Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Embi berkata, ia merupakan salah satu pelan perlindungan yang ditawarkan TEKUN melalui produk TEKUN CARE.

“TEKUN CARE mempunyai tiga jenis pelan perlindungan iaitu platinum, gold dan silver.

“Jumlah perlindungan untuk pelan platinum adalah seba­nyak RM50,000, diikuti dengan pelan gold sebanyak RM30,000 dan pelan silver dengan nilai RM10,000,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenainya, Baharom berkata, pelan tersebut melindungi pemegang polisinya 24 jam di seluruh negara.

“Mereka akan menerima manfaat yang besar jika mengambil pelan ini walaupun membayar dengan nilai sangat berpatutan.

“Antaranya ialah elaun hospital bernilai RM20 sehari, bayaran rawatan gigi, keilatan kekal dan perbelanjaan perubatan sehingga RM1,000,” katanya.

Dalam pada itu, TEKUN turut menawarkan pembiayaan mikro khas buat mereka yang ingin menjadi usahawan baru terutama golongan muda.

“Nilai pembiayaan mikro ini boleh mencecah sehingga RM100,000 bergantung kepada kelayakan dan kemampuan kewangan seseorang.

“Kepada pengunjung HPPNK 2017 yang berminat boleh hadir di booth Tekun di Dewan A MAEPS untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.