Penasihat syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pemandu teksi juga perlu segera mengemas kini maklumat ke dalam aplikasi mudah alih telefon pintar atau e-hailing bagi mening­katkan kualiti perkhidmatan mereka.

“Saya menyeru kepada semua pemandu teksi agar mengemas kini maklumat peribadi dan perkhidmatan mereka kerana hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum berlakunya ‘perang’ pemasaran e-hailing dalam industri teksi.

“Setakat ini, sebanyak 70 peratus pemandu teksi sudah mendaftar dengan sistem tersebut dan sudah semestinya kaedah ini bagus bagi menjamin pemanduan yang berhemah serta memupuk sikap rajin dalam kalangan pemandu teksi,” kata­nya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Central, di sini hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan langkah tersebut berkuat kuasa 1 Januari 2019 tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana syarikat pengendali sistem e-hailing tersebut.

Melalui langkah itu juga, pemandu aplikasi sistem itu perlu berdaftar, mengambil kursus dan insurans penumpang serta memiliki kad memandu daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Mengulas lanjut, Shamsubahrin berkata, caj perkhidmatan teksi melalui e-hailing akan bermula serendah RM3 dan setiap syarikat pengendali yang menyediakan perkhidmatan itu juga boleh melaksanakan pelbagai strategi dalam menarik pelanggan.

“Contohnya, mereka boleh memberi perkhidmatan percuma atau mata ganjaran kepada pelanggan dan perkara itu terpulang kepada strategi syarikat masing-masing.

“Namun, dalam aspek promosi mereka perlu ingat bahawa kementerian sudah memberi amaran jangan mengelirukan pengguna. Contohnya, pernah berlaku destinasi dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui perkhidmatan Grab dikenakan sebanyak RM65 manakala Grab Teksi dengan RM199.

“Sedangkan, kalau pelanggan menggunakan teksi bermeter harganya tidak sampai RM130. Jadi, ini adalah contoh bentuk penipuan dan kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat bukti kukuh tentang perkara tersebut,” katanya.