SYED NASIER HUSSIN
SYED NASIER HUSSIN

Pengarah Urusan Lautan Variasi Sdn. Bhd. (Lautan Variasi), Syed Nasier Hussin Syed Peer berkata, teknologi satelit mempunyai kelebihannya tersendiri yang mana ia boleh diakses di segenap tempat di negara ini termasuk di kawasan-kawasan pedalaman.

Katanya, kelebihan tersebut boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak terutama agensi-agensi kerajaan yang berurusan di kawasan-kawasan pedalaman, industri pelancongan, perbankan dan badan-badan perladangan.

“Pada masa kini, kita lihat akses capaian Internet di tempat seperti Kuala Lumpur memang ada tetapi bagaimana dengan di luar bandar? Ada kawasan yang tiada akses.

“Jadi, Lautan Variasi sebagai penyedia Internet merasakan sudah tiba masanya bagi infrastruktur satelit ini dimanfaatkan sepenuhnya agar semua orang terutama pelajar dan pihak sekolah dapat mengakses Internet,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Lautan Variasi, sebuah syarikat milik penuh bumiputera telah berkembang pesat sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi canggih serta terkini menerusi kerjasama dengan pihak Sistem Rangkaian Hughes dari Germantown, Washington, Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Syed Nasier Hussin memberitahu, pihaknya merupakan satu-satunya syarikat penyedia teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) Jupiter 2 di Malaysia iaitu platform telekomunikasi satelit VSAT tercanggih setakat ini.

Jelas beliau, teknologi tersebut diharap dapat diaplikasikan dalam sistem persekolahan negara agar generasi muda tidak di­nafikan hak mereka untuk mengakses dunia digital dengan lebih baik.

“Berdasarkan pembuktian konsep (POC) yang dijalankan di salah sebuah sekolah di Sepang baru-baru ini, sistem di­sediakan Lautan Variasi telah mendapat maklum balas positif daripada pihak sekolah,” katanya.

Ditanya tentang ca­baran terbesar yang dihadapi pihak­nya dalam mempromosikan teknologi berkenaan, Syed Nasier Hussin menjelaskan, tugas sukar adalah untuk memberi kefahaman orang ramai tentang potensi infrastruktur telekomunikasi berteraskan satelit.

Katanya, untuk beberapa tahun akan datang, Lautan Variasi akan mengorak langkah menjadi syarikat awam berhad dan memiliki satelitnya sendiri iaitu LVSat.