Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jika sebelum ini Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 lalu menampilkan teknologi penternakan lembu sado sebagai tarikan utama, kali ini pihaknya menampilkan teknologi penternakan ayam yang lebih terperinci.

“Melalui HPPNK2017, pengunjung terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dengan ternakan ayam boleh melihat teknologi penternakan ayam yang akan dipamerkan di sini.

“Pengunjung akan didedahkan dengan teknologi moden yang digunakan bagi menternak ayam (contohnya teknologi untuk memberi makan, minuman dan perubatan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Media Tour bersempena HPPNK 2017 di Maeps, Serdang dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, HPPNK 2017 mampu menarik kehadiran sehingga 500,000 pengunjung dalam tempoh empat hari pe­nganjurannya itu.

“Bukan sahaja golongan petani atau penternak yang dijangka akan hadir, tetapi saya yakin orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke HPPNK 2017.

“Selain pameran teknologi penternakan dan jualan hasil pertanian yang segar, Malaysia Food Festival 2017 (MFF 2017) yang menampilkan lebih 401 menu makanan dari seluruh negara merupakan antara tarikan di HPPNK 2017,” ujarnya.

Majlis perasmian HPPNK 2017 akan diadakan esok di Dewan D, Maeps oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE