Ketua Pegawai Komunikasi dan Sektor Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus (gambar) berkata, konsep IoT akan menjadi pilihan utama ke­rana kosnya yang rendah, mudah dan mempunyai liputan meluas.

Beliau berkata, teknologi tersebut merupakan suatu konsep yang mana pengguna mampu berinteraksi dengan peranti di sekeliling mereka dengan bantuan sensor dan mampu memproses maklumat dengan pantas dan tepat.

“Negara maju yang mempunyai kemudahan lengkap seperti hubu­ngan Internet yang pantas, perkakasan dan perisian yang terbaharu sudah lama menggunakan konsep IoT dalam kehidupan seharian mereka.

“Antara kemudahan yang mampu diperoleh melalui IoT adalah pemantauan kualiti udara dan juga air dalam masa sebenar, mengawal kadar penggunaan elek­trik di rumah, dan menetapkan perkakasan elektrik menerusi aplikasi di telefon pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pembe­rita selepas merasmikan seminar IoT Me­n­trans­formasikan Perniagaan dan Gaya Hidup Digital di Auditorium SKMM di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali Hanafiah, Malaysia be­lum terlambat untuk memba­ngunkan teknologi tersebut ke­rana mempunyai kemudahan dan kepakaran lengkap.

Dalam pada itu, katanya, teknologi tersebut juga mampu menjana nilai perolehan melebihi RM8.6 bi­lion menjelang tahun 2025.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan IDB Market Research Sdn. Bhd., Pranabesh Nath berkata, IoT sudah lama bertapak dalam dunia teknologi, namun penggunaannya dipandang sepi kerana kekangan capaian internet dan kemampuan memproses maklumat pada waktu itu.

Namun, katanya, menerusi kemajuan teknologi pada masa kini, penggunaan IoT mampu direalisasikan pada masa hadapan.

“Dengan perkembangan dunia teknologi dan capaian mudah alih, penggunaan teknologi ini bukan sesuatu yang mustahil lagi dan gaya hidup berkonsepkan IoT boleh menjadi realiti,” katanya.