Peralatan teknologi yang mengaplikasikan konsep kitaran bilah kipas itu mampu menghasilkan diod pemancar cahaya (LED) dan seterusnya membentuk objek 3D hologram dalam pelbagai bentuk.

Ketua Wanita UMNO bahagian Ipoh Timur, Masarah Abdullah, 58, berkata, dia teruja melihat peralatan itu.

“Ini baru kali pertama saya melihat alat berkenaan yang umpama sebuah kipas kecil dan boleh pula muncul pelbagai bentuk seperti paparan objek akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Saya rasa ini pendekatan terbaik akhbar Utusan dalam menarik minat orang ramai mendekati gerai pameran yang disediakan.

“Malah, kanak-kanak pasti teruja apabila melalui ruangan pameran ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong, Rohani Che Ling, 55, dia seakan-akan ingin menyentuh objek yang dipaparkan peralatan canggih berkenaan.

“Apabila saya lihat alat itu, rasa seolah-olah ingin menyen­tuh setiap objek yang dipaparkan kerana berjaya mencuri tumpuan sehingga terpaku seketika,” luahnya.

Orang ramai jangan melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kecanggihan perlatan teknologi itu di ruang pameran Kumpulan Utusan di Jalan Utusan (berhadapan bilik Pulau Pinang) yang terletak di tingkat bawah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pameran yang berlangsung selama lima hari itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 turut mempamerkan pelbagai produk daripada Kumpulan Utusan.