Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan percaya dalam ikhtiar berkhidmat untuk negara, ia harus bersifat melangkau kepentingan politik dan berorientasikan kepentingan rakyat.

“Yang paling mustahak, kita mesti menentukan pencapaian kita melangkaui batas yang lazim atau dengan segala kejayaan ini, kita mesti sentiasa berusaha mendapat pencapaian yang lebih tinggi dan mengekalkan kecemerlangan itu untuk Malaysia.

“Apa yang penting dalam roh dan semangat kemerdekaan, kini bukanlah masa untuk kita berpecah belah. Walau apa pun dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan selaras dengan aspirasi dan falsafah Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya ketika berucap dalam Program Negaraku Merdeka Bersama Perdana Menteri, di Balai Seni Lukis Negara, di sini.

Program berbentuk ‘townhall’ yang dirakam sebelum ini, melibatkan pelbagai pihak yang turut mengambil bahagian dengan bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri dan mengemukakan pandangan mereka tentang pembangunan dan kemerdekaan negara sejak 60 tahun lalu.

Najib turut memuat naik ucapan tersebut dalam akaun Facebook beliau hari ini dengan menyenaraikan projek-projek infrastruktur rakyat.

seperti Transit Aliran Massa (MRT) yang bertaraf dunia dan bakal membawa impak kepada 500,000 pengguna setiap hari selain Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pan Borneo dan kereta api berkelajuan tinggi yang sedang rancak serta bakal dibina.

Di samping itu, inisiatif di bawah jenama 1Malaysia antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia serta bantuan kepada para petani, nelayan, pekebun kecil dan peneroka Felda terus dipergiatkan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sambutan Hari Kebangsaan semakin mantap dan mendalam maksudnya hingga menjadi momentum yang menganjak rakyat jauh ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa yang berjati diri.

Katanya, jika dihitung, sifir kejayaan Malaysia hari ini adalah berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan ideologi kebangsaan yang jitu, inklusif dan saksama.

“Sebab itu kita mampu berbangga kerana dirujuk sebagai negara yang sedang maju membangun berteraskan pendirian yang jelas seperti menolak ideologi dan fahaman ekstremisme khususnya dalam membanteras ancaman anasir militan iaitu Daesh.

“Tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat sebagai pengisian sebenar kepada sebuah kemerdekaan melainkan menjadi kerajaan yang mampu menyampai serta melaksana janji-janji yang dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.