Jurucakap Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia, penganjur pertandingan dalam satu kenyataan berkata, antara pertandingan yang pa­ling menarik ialah pengunjung diminta meneka berat seekor lembu ‘Sado’ yang menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 bagi sesiapa yang dapat meneka dengan tepat.

“Pengunjung boleh me­n­yertai pertandingan ini semasa mereka mengunjungi Tapak Laman Veterinar yang mempamerkan pelbagai jenis haiwan ternakan terutamanya lembu, kambing dan unggas yang menjadi sumber makanan utama di negara ini,” katanya.

Selain meneka berat lembu tersebut, pengunjung laman ini juga boleh menyertai Pertandingan Selfie yang menjanjikan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 kepada pemenang utama.

“Pengunjung juga berpe­luang mengambil gambar selfie bersama haiwan-haiwan ternakan dan pemeliharaan yang terdapat di laman tersebut.

“Gambar-gambar yang menarik boleh dipertandingkan dengan menekan #selfiegtr,” katanya.

Bagi pengunjung kanak-kanak pula mereka dipelawa menyertai Pertandingan Mewarna Arca Haiwan.

Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 (hadiah utama), RM500 (kedua) dan RM200 (ketiga).

Terdapat banyak lagi per­tandingan diadakan untuk pengunjung MAHA dan segala maklumat pertandingan boleh diperoleh di semua kaunter informasi yang disediakan di tapak MAHA 2016.