Pengarah Urusan Yayasan Teach For Malaysia (YTFM) berkata, berdasarkan kadar pembangunan teknologi yang pesat serta cabaran besar yang dihadapi masa kini sudah tiba masanya untuk memfokuskan kepada pembangunan kecerdasan emosi dan sosial, serta menukar sesi pembelajaran di dalam bilik darjah supaya menjadi lebih menarik.

"Kami berharap semua pelajar diperkasakan untuk menjadi seorang pemimpin masa hadapan negara yang bertanggungjawab bukan sahaja pada pembelajaran mereka tetapi juga untuk masa hadapan mereka dan ini perlu dimulakan di dalam bilik darjah.

"Bagi mencapai visi ini, negara kita memerlukan pemimpin-pemimpin yang berpotensi untuk bekerjasama dengan komuniti-komuniti tempatan agar pelajar kita dapat diperkasakan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

YTFM merupakan sebuah organisasi yang mempunyai misi agar kanak-kanak di Malaysia boleh mendapat pendidikan yang cemerlang melalui kerjasama dengan KPM untuk memberi impak di sekolah KPM yang paling mencabar. 


Tambah beliau, salah satu faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan pelajar adalah kualiti pendidikan dan pendidikan yang diselaraskan dalam sistem sejajar dengan janji kerajaan untuk menjadikan sekolah awam pilihan terbaik untuk warganegara Malaysia. - UTUSAN ONLINE