Daripada jumlah keluasan itu, sebanyak 10,104 hektar itu bagi pajakan untuk penggal kedua selama 46 tahun manakala  2,740 hektar lagi yang telah dipajak dalam tempoh antara 30 hingga 99 tahun yang kemudiannya boleh dilanjut di antara 92 hingga 99 tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM,  Datuk Mohamat Muda memberitahu, melalui perjanjian pajakan yang baharu dimeterai di Kuala Lumpur semalam juga, TDM akan membayar sewa tahunan kepada PMINT sebanyak RM4.9 juta setahun berbanding sebanyak RM429,965 selama ini.


Tanah yang keseluruhan seluas 12,844 hektar itu merupakan 29 peratus daripada 44,672 hektar bank tanah perladangan kelapa sawit syarikat itu.


“Perjanjian pajakan ini dibuat hasil kelulusan pemegang saham TDM yang diadakan dalam mesyuarat agung luar biasa yang lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan berhubung persetujuan yang dicapai.


Selaras dengan itu, katanya, TDM akan memperluaskan perladangan domestik, perjanjian pajakan ini telah memperkuat komitmen syarikat untuk mendahului dalam sektor perladangan di Terengganu. 


“Dengan adanya perjanjian ini, kami mampu untuk meneruskan pengeluaran hasil kelapa sawit pada tanah ini yang menjadi penyumbang utama dan berterusan kepada pendapatan syarikat.


“Kami telah membuat pelaburan yang besar dalam pembangunan industri tanaman kelapa sawit dan sudah pasti menginginkan pulangan hasil yang menguntungkan daripada pelaburan itu,” ujarnya.


Pada dasarnya, TDM telah mengambil alih tanah KLLT pada tahun 1997 bagi membangunkan tanah perladangan kelapa sawit namun sehingga kini, KLLT masih lagi menguruskan tanah berkenaan.


Awal Februari lalu, TDM telah menerima tanah sebanyak 4,515 hektar daripada kerajaan negeri, seterusnya menjadikan tanah yang dimajukan di negeri ini meningkat kepada 36,363 hektar.-UTUSAN ONLINE