Menerusi kerjasama tersebut, Amanah Nusantara akan bertanggungjawab membawa masuk para pelabur untuk menanam modal dalam lima sektor ekonomi teras yang telah dikenal pasti antaranya membangunkan Koridor Industri Mundu-Losari di atas tanah seluas 2,000 hektar.

Selain itu, sektor ekonomi lain yang turut menjadi perhatian utama ialah keperluan untuk membina pelabuhan baharu di Cirebon, memperkasakan industri perikanan, program pengembangan tenaga elektrik serta mewujudkan kawasan perumahan moden iaitu Cirebon New City.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanah Nusantara, Ishtiaq M. Khan, peluang menerokai pembangunan ekonomi di Cirebon merupakan sesuatu yang tidak wajar dilepaskan oleh mana-mana pihak dan kini Amanah Nusantara membuka seluas ruang kepada mereka yang berminat.

“Cirebon merupakan sebuah wilayah yang menjanjikan pelbagai peluang ekonomi untuk direbut para pelabur,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Amanah Nusantara dengan kerajaan negeri Cirebon di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pemerintah Cirebon, Sunjaya Purwadisastra; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sementara itu, Ahmad Sarji menyifatkan hubungan yang terjalin antara Amanah Nusantara dengan kerajaan negeri Cirebon merupakan model kerjasama baharu terutamanya dalam aspek mengatasi masalah birokrasi yang selama ini sering menghantui para pelabur untuk menanam modal.

Katanya, apa yang lebih meng­gembirakan ialah kerjasama yang berjaya dimeterai itu hanya memerlukan masa kira-kira empat bulan untuk dimuktamadkan oleh kedua-dua belah pihak, sekali gus membuktikan kekangan birokrasi boleh diatasi jika ada kemahuan.

“Tidak mudah untuk sebuah kerjasama ekonomi sebegini besar berjaya diselesaikan hanya menerusi perbincangan yang mengambil masa cuma empat bulan tetapi berjaya direalisasikan dan kini peluang terbuka untuk para pelabur menerokai Cirebon,” katanya.