Perdana Menteri berkata, kelemahan paling utama pembangkang di Selangor sehingga menjadi mimpi ngeri dalam kalangan rakyat adalah masalah pengurusan air yang sangat lemah sehingga mengakibatkan enam daerah di negeri itu mengalami masalah bekalan air kritikal.

Jelas beliau, empat lagi kelemahan adalah harga rumah yang semakin tinggi; pembentukan cukai baharu yang membebankan; sistem pengurusan lambakan sampah sarap yang lemah dan sungai yang semakin kotor sehingga membawa kepada pe­ningkatan penyakit denggi.

“Inilah masalahnya, kualiti semakin teruk, tekanan rendah, bil kelam-kabut, perkhidmatan tak baik, saya dah dapat laporan tentang kisah pentadbiran air di ne­geri Selangor ini. Apa cara untuk selesaikan (masalah ini), tukar dan tawan semula kerajaan Selangor, saya janji masalah air selesai.

“Harga rumah makin tinggi, kelulusan lambat selain kurang pembinaan rumah kos rendah, semua ini berlaku disebabkan cukai naik di Selangor. Selain itu, (mereka wujudkan) cukai baharu yang membebankan cukai pintu, cukai ambil air laut pun ada.

“Sampah bertimbun di Sela­ngor ini dan bungkusan tak cukup. Yang kelima perancangan sungai yang kotor dan penyakit berjangkit makin meningkat. Selangor adalah jaguh denggi Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis Jamuan Rakyat dan pelancaran Jentera BN Selangor di Dataran Kampung Sungai Chik, Ulu Yam, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar; Pre­siden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Terdahulu, majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 hadirin itu bergema dengan laungan Tawan Selangor dan Wajib Menang ketika menyambut kehadiran Perdana Menteri yang tiba di tapak majlis tepat pukul 12.30 tengah hari, sekali gus menjadi petunjuk jelas kepada kesediaan BN Sela­ngor merampas semula negeri itu selepas dua penggal pilihan raya dipegang pembangkang.

Sementara itu, Najib menasihati BN Selangor agar membuang penyakit ‘kerat sesama sendiri’ yang dipercayai menjadi punca kegagalan merampas Selangor daripada pembangkang dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya, penyakit yang membawa musibah buruk itu berlaku kerana semata-mata mahu memastikan diri sendiri naik dan bukannya mahu menaikkan kekuatan parti.

“Kita jangan jatuh sesama sendiri, ini pun satu punca dulu gaduh sesama sendiri dan kita jangan ‘kerat sesama sendiri’, Saya tahu di Selangor ni ada pe­nyakit macam itu, kita mesti hapuskan penyakit ini.

“Ini resipi untuk menang, bukan kita ini tak kuat, tapi kita ini buat kita tembak kaki sendiri, bila tegang kita tembak, kita ini rajin tembak kaki sendiri, sebab apa, sebab kita nak naik, bukan sebab parti nak menang, tak boleh, kita hanya akan jadi kuat bila parti kuat,” katanya.