Ketua rombongan itu, Shukri Mansor berkata, penundaan penerbangan oleh Air Asia itu hanya dimaklumkan kira-kira pukul 4 petang ini menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan emel kepada kesemua individu berkenaan.

"Kami sepatutnya menaiki penerbangan pulang pada pukul 5.55 pagi esok. Namun kira-kira pukul 4 petang tadi, masing-masing menerima SMS dan emel dari Air Asia menyatakan penerbangan kami ditunda pada 23 dan 24 September akibat taufan Mangkhut yang melanda China.

"Keadaan itu menimbulkan beberapa masalah kerana kami tidak boleh untuk terus menginap di Hotel Guangyong Lido yang menjadi tempat penginapan selama ini akibat kos yang tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Difahamkan kesemua mereka yang berusia antara 10 hingga 70 tahun berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 14 September lalu menerusi penerbangan Air Asia pukul 12.05 pagi.

Menerusi emel yang dihantar kepada mereka, Air Asia memaklumkan penerbangan pagi esok terpaksa dibatalkan berikutan Taufan Mangkhut.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini keadaan angin di sana sememangnya agak kuat dengan hujan lebat sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap para peserta.

"Kami agak buntu mengenai apa yang perlu dilakukan. Setakat ini, kami sudah menghubungi pihak konsulat di Guangzhou dengan mereka memaklumkan akan cuba memberi bantuan yang terdaya, esok.

"Bagi berdepan situasi ini, kami cuba menenangkan semua peserta dengan mengadakan tazkirah ringkas oleh salah seorang ustazah. Setelah berbincang, esok kami merancang untuk berteduh di Masjid Saad Abi Waqqas dekat sini setelah keluar dari hotel," katanya.

Sementara itu salah seorang peserta rombongan, Muhamad Sharifuddin Ab. Rahman berkata, kebanyakan peserta rombongan kini mengalami masalah kewangan kerana wang yang dibawa ke sana telah hampir habis.

"Kami fikir akan balik esok, jadi kebanyakan wang yang dibawa sudah dihabiskan. Justeru masing-masing risau mengenai tempat tinggal serta makanan sementara menanti penerbangan pulang minggu depan.

"85 peratus peserta rombongan merupakan warga emas dan ada yang berdepan masalah dengan ubat-ubatan. Justeru kami amat berharap supaya ada pihak yang tampil memberi pertolongan," katanya. - UTUSAN ONLINE