Dalam nada sebak, ungkapan itu dilafazkan Suhaimi Shahod, 50, yang bergelumang dalam dunia mak nyah sejak 1988 sebelum terbuka pintu hatinya untuk bertaubat tahun lalu.

Kehidupannya kini jauh berbeza dengan kebanyakan masa dihabiskan di surau-surau serta masjid di sekitar bandar raya ini berbanding di suatu ketika dahulu.

“Mengenangkan perkara-per­kara sebegitu membuatkan saya rasa cukup bersalah kepada Allah dan arwah emak. Sebelum emak, Chik Md. Noor meninggal dunia pada 1988, dia beberapa kali menasihatkan agar saya ber­ubah mengikut fitrah lelaki apabila melihat saya cenderung berpakai­an dan bersikap seperti wanita.

“Tetapi saya bersikap sebalik­nya. Selepas emak meninggal du­nia, saya terlalu mengikut godaan syaitan dan berpakaian serta bersikap seperti wanita sepenuhnya sehingga mempunyai teman lelaki. Bayangkan saya sanggup bergaduh dengan mana-mana wa­nita disebabkan sifat cemburu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pernah beberapa kali dia ditanya bila mahu berubah, namun jawapan yang diberikan tetap sama iaitu tidak akan berubah sampai mati.

“Mungkin perkataan itu seolah-olah mencabar kebesaran Tuhan menyebabkan saya ditunjukkan kekuasaan-Nya. Suatu hari pada bulan Ramadan tahun lalu, saya terjatuh dari motosikal di bazar Ramadan dalam keadaan enjin belum dihidupkan.

“Terasa seolah-olah ada orang menolak saya yang ketika itu lengkap berpakaian wanita, bersolek dan memakai barang kemas walhal tiada sesiapa di situ. Lebih menghairankan sakitnya teramat sangat sehingga menyebabkan saya menangis,” katanya.

Selepas kejadian itu, entah bagaimana katanya, timbul rasa keinsafan dalam hatinya menyebabkannya dia menguatkan diri menjejakkan kaki ke masjid untuk solat tarawih.

“Ketika imam membaca surah dalam sembahyang, rasanya Tuhan saja yang tahu. Pada usia 49 tahun, itulah kali pertama saya merasai pengalaman bersolat tarawih.

“Air mata tidak tertahan-tahan. Saya bersyukur kerana Tuhan memberi hidayah sebelum masa malaikat datang mencabut nyawa,” katanya yang kini masih berusaha mencari guru-guru agama bagi terus mendekati Tuhan.

Ketika ini, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan dan berharap agar pendedahan yang dibuatnya tidak menjejaskan kerjaya serta masa depannya.

“Saya membuat pendedahan ini agar masyarakat mendapat pedoman daripada kisah hitam ini. Saya juga mahu mengajak semua mak nyah agar bertaubat dalam keadaan kita masih diberi nafas.

“Selain itu, saya amat berhajat untuk bertemu saudara-saudara kandung yang terpisah sejak berusia empat tahun. Tidak banyak yang saya tahu kecuali saya mempunyai seorang abang bernama Sulaiman Shahod dipercayai berada di Melaka. Untuk maklumat, arwah bapa saya bernama Shahod Basir merupakan seorang pesara polis,” katanya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai saudara kandung Suhaimi diminta menghubunginya di talian 016-7912903.