Kerjasama itu terjalin melalui Memorandum Perjanjian (MoA) Pengurusan, Pentadbiran dan Pe­ng­­operasian Tabika dan Taska MIS dengan KEMAS yang ditandatangani Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin bersama Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha, sambil disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi dan Setiausaha MIS, Ismail Hanis di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini.

MoA tersebut adalah susulan beberapa siri lawatan dan perbincangan yang diadakan antara Penasihat Undang-Undang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri sebelum ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, hasil perbincangan itu, MIS bersetuju menye­rahkan tiga Tabika dan 12 Taskanya yang mempu­nyai 26 guru bersama pembantu untuk diuruskan pihak KEMAS.

“Melalui penyerahan ini, kita berharap kualiti pendidikan awal kanak-kanak akan dapat diper­tingkatkan khususnya di Sa­ra­wak.

“Secara keseluruhan, tabika KEMAS kini telah bertambah kepada 1,543 buah, manakala Taska sebanyak 93 buah dengan seramai 22,455 kanak-kanak belajar di KEMAS seluruh Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoA tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua­ Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Fatimah Abdullah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Sidin.

Dengan majlis menandatangani MoA itu menandakan penyerahan sepenuhnya pengurusan, pentadbiran dan pengoperasian Tabika dan Taska Masjid oleh MIS kepada KEMAS iaitu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Penyerahan itu bakal me­nyaksikan perubahan struktur pe­­ngoperasian yang sebelum ini diuruskan oleh pihak MIS, kini diserahkan kepada KEMAS, ma­nakala nama Tadika dan Taska Masjid ditukar kepada Tabika KEMAS Masjid dan Taska Permata KEMAS Masjid.

Mengulas lanjut, Alexander Nan­ta berkata, seramai 26 guru dan pengasuh yang bertugas di pusat pendidikan ini juga akan diserap sebagai kakitangan kerajaan de­ngan membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Sembilan orang yang memiliki diploma dicadangkan dilantik ke Gred S29, Gred S19 (tujuh) dan Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) yang tidak memenuhi syarat kelayakan akademik (10).

“KEMAS juga akan mengenal pasti keperluan alat bantu me­ngajar, peralatan dan kelengkapan serta penyelenggaraan ba­ngunan bagi memastikan kanak-kanak me­nikmati pendidikan awal yang kondusif serta selesa,” jelasnya.

Beliau berkata, buat masa ini, KEMAS akan menguruskan tiga Tabika dan 12 Taska termasuk kemungkinan melu­askan lagi pro­­gram ini secara berperingkat-pe­ringkat sekiranya ada permintaan.

Sejarah awal penubuhan KEMAS pada 1961 bertujuan untuk membasmi buta huruf dalam kalangan masyarakat dewasa pa­da masa itu, manakala fokus pendidikan awal kanak-kanak pula bermula pada 1971 dengan mewujudkan 10 kelas Tabika yang me­nempatkan 300 kanak-kanak.

Pada tahun ini, KEMAS memiliki 11,229 kelas Tabika yang me­nempatkan 219,999 kanak-kanak di seluruh negara.