Pengarah muzium berkenaan, Farizawati Sabri berkata, pame­ran yang merupakan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 28 Januari lalu dan berakhir pada 15 Mei ini.

Katanya, pameran itu yang mengetengahkan burung bertujuan memupuk kesedaran dan pemahaman dalam kalangan orang ramai tentang keunikan fauna di sekeliling mereka.

“Antara yang menjadi tarikan kali ini adalah burung lang siput atau lang laut. Selain itu, satu model sarang bowerbird juga dipamerkan.

“Apa yang menarik tentang burung bowerbird ini adalah sarang­nya dihiasi barangan kitar semula seperti penyedut minuman dan botol berwarna warni bagi menarik perhatian burung betina,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Farizawati, terdapat juga hasil seni berkaitan burung dipamerkan termasuk jebak, pintu ukiran dan sangkar bagi mencerminkan budaya masyarakat tempatan yang begitu sinonim dengan haiwan tersebut sejak dahulu lagi.

Katanya, sambutan orang ramai terhadap pameran tersebut adalah menggalakkan dan beliau berharap lebih ramai dapat me­ngunjungi muzium tersebut.

“Muzium ini akan terus mempamerkan pelbagai elemen menarik merangkumi pelbagai spektrum alam semulajadi pada masa depan,” katanya.

Orang ramai boleh mengunjungi muzium berkenaan setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-88902884 dan 03-88880193 atau laman Facebook Natural History Museum Putrajaya.