Menurut Perdana Menteri, pe­la­buran-pelaburan baharu yang dipersetujui tertumpu kepada bidang semikonduktor dan peme­sinan.

Bercakap dalam sidang akhbar pada akhir lawatannya selama tiga hari di Jerman semalam, katanya, beliau berpuas hati dengan minat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli perniagaan Jerman yang bersedia melabur dan bekerjasama dengan Malaysia.

“Mereka menunjukkan kesung­guhan dan minat yang tinggi untuk melabur kerana mereka yakin pada kemampuan Malaysia, kestabilan politik dan dasar-dasar pelaburan negara yang mampan,” katanya.

Kata beliau, ahli-ahli perniagaan ini juga melihat Malaysia sebagai pintu masuk pelaburan ke rantau Asia Tenggara.

Menurut Najib, dialog dan per­jumpaan yang diadakan juga adalah bertujuan untuk mende­ngar secara dekat masalah-masalah yang dihadapi oleh pelabur Jerman dan pandangan-pandangan mereka.

“Kita mahu menjadikan Malaysia pusat pelaburan di Asia Tenggara dan pandangan-pandangan ini akan membantu kita melahirkan suasana pelaburan yang lebih menarik,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Persidangan Perniagaan Asia Pasifik-Jerman pada tahun 2018.

“Kita harap rancangan ini akan menjadi kenyataan kerana Jerman merupakan pelabur terbesar dari Kesatuan Eropah (EU) yang melabur sejumlah AS11.4 bilion dalam sektor perkilangan di Malaysia,” tambah beliau.

Menurut Perdana Menteri, perjumpaan-perjumpaan yang diadakan bukan saja dihadiri oleh syarikat-syarikat yang sudah lama melabur di Malaysia tetapi juga syarikat-syarikat baharu.

Antara syarikat yang turut serta dalam dialog-dialog tersebut ialah Atotech, AWS Shafer, B.Braun, X-FAB, OSRAM, KLS Martin, Muhlbauver, Schmidt & Clemens dan Infineon.

Dalam perjumpaan itu, kata beliau, terdapat juga syarikat yang sudah melabur di Malaysia dan masih berminat untuk menambahkan nilai pelaburan mereka. – UTUSAN