AZLAN MAN

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, menerusi pelan pembangunan itu, lokasi tersebut yang berkeluasan 1,200 hektar akan dimajukan sebagai sebuah kawasan perindustrian secara berperingkat-peringkat.

Katanya, pelbagai prasarana lengkap akan disediakan kerajaan termasuk pakej perniagaan dan insentif untuk menarik pelabur di negeri itu.

“Banyak pihak yang sudah pun menyatakan hasrat ingin melabur di Perlis. Maka sebab itu, kita perlu menyediakan kemudahan prasarana untuk mereka.

“Kita menjangkakan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping ini akan menjana sebanyak 25,000 peluang pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menutup Forum Memperkasakan Pembangunan Perlis dengan kerjasama Biro Tata Negara (BTN), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Negeri.

Forum yang dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Ke­majuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan itu bertujuan memberi penerangan tentang perancangan pembangunan negeri.

Azlan seterusnya berkata, kajian kesesuaian berhubung pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping itu telah dilakukan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kos RM1 juta.

Katanya, pembangunannya akan dilakukan dengan menggunakan model Taman Kulim Hi-Tech kerana kawasan tersebut telah terbukti berjaya menarik kedatangan pelabur.

Tambah beliau, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping merupakan satu daripada empat pusat pertumbuhan Perlis untuk menjana pendapatan negeri.

“Tiga lagi adalah mewujudkan Bandar Maritim di Kuala Perlis, Terminal Pengangkutan Bersepadu di Kangar dan Pelabuhan Perantara Bersepadu Antarabangsa di Sanglang,” katanya.

Azlan turut memberitahu, kerajaan negeri akan membangun dan mengindahkan Sungai Perlis, bermula dari Kuala Perlis sehingga ke Kangar sepanjang 11 kilometer, seterusnya mewujudkan bandar nelayan moden selain pasar terapung.