Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, tindakan menarik balik moratorium itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menafikan komitmen yang dibuat dalam Janji 27 manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu menghapuskan undang-undang yang bersifat 'penindasan' dan 'tirani'

"Majlis Peguam telah berulang kali menggesa supaya memansuhkan beberapa undang-undang di negara ini yang dilihat tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan atau penghinaan terhadap prinsip keadilan semulajadi dan kedaulatan undang-undang.

"Undang-undang ini telah disalahgunakan pada masa lalu dan selagi ia kekal maka berpotensi untuk berlakunya penyalahgunaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kabinet bersetuju membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan beberapa akta yang sedang dalam kajian untuk dimansuhkan sebelum ini dalam mengendalikan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights

Katanya, mesyuarat Kabinet telah memutuskan untuk menarik balik moratorium yang diadakan sebelum ini berdasarkan keadaan semasa dan apa yang berlaku berkaitan kes kuil ini.

Antara akta tersebut, katanya, adalah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas (SOSMA 2012). - UTUSAN ONLINE