Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, budaya tersebut juga harus bermula dari rumah di mana ibu dan bapa perlu memainkan peranan memperkenalkan dunia sains dan teknologi kepada anak-anak.

“Ibu bapa juga perlu meluangkan masa membawa anak-anak mengunjungi pameran-pameran sains dan teknologi selain membantu mereka mengulang kaji pelajaran serta memberi sokongan dalam bidang berkenaan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menghadiri program Jejak Prihatin di Masjid Al-Islah, Kampung Ngulang, Mata Ayer, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir dan menyampaikan tazkirah di akhir program tersebut ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universitas Islam Riau (UIR) Indonesia dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Dalam program berkenaan, seramai enam orang pelajar daripada fakulti agama Islam, Universitas Islam Riau menyertai program mobiliti pelajar di KUIPs selama tiga minggu bermula 7 hingga 28 Julai.

Dalam masa sama, para pelajar tersebut amat teruja kerana turut diberi kesempatan mengiringi Raja Muda Perlis menyertai program berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali yang ke-55 sejauh 11 kilometer yang bermula dan berakhir di pekarangan masjid tersebut. - UTUSAN ONLINE