Ketua Pegawai Penguatkuasa JHEAINS, Abidin Ali Hassan berkata, amaran tersebut perlu berikutan terdapat kes peniaga di negeri ini yang telah melanggar peraturan ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Sabah (JPHPT).

“Hanya ayam dari Belanda dibenarkan dijual di negeri ini dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JPHPT itu adalah sejajar dengan kelulusan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Raya Perdana Agensi Islam Negeri Sabah, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Pengarah JHEAINS, Yusof Abd. Abas.

Abidin berkata demikian sebagai mengulas perkembangan kes rampasan ayam import dari Amerika Syarikat yang dijual di pasar raya di Kota Kinabalu dan Tawau baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, JHEAINS dengan kerjasama JPHPT, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan meneruskan pemantauan ke atas peniaga dan pengedar produk import di negeri ini.

Beliau turut mengingatkan kepada pengguna khususnya umat Islam di negeri ini agar memberi keutamaan terhadap aspek halal dan hanya membeli barangan makanan yang mendapat pengiktirafan daripada Jakim. - UTUSAN ONLINE