Bagi pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, kadar sekarang iaitu 34.52 sen/kWj turut dikekalkan sehingga 30 Jun tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili ketika mengumumkan perkara itu berkata, persetujuan tersebut dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu.

Menurutnya, kadar tarif di Semenanjung kekal 38.53 sen setiap kilowatt-sejam (kWj), menyamai jadual kadar tarif elektrik yang dilaksanakan sejak 1 Januari 2014.

“Kerajaan bersetuju untuk menampung rebat tarif elektrik seba­nyak 1.52 sen bagi setiap kWj serta surcaj 0.28 sen/kWj dengan jumlah keseluruhan rebat tarif elektrik ialah sebanyak RM929.37 juta bagi tempoh 1 Januari hingga Jun 2018.

“Secara keseluruhannya, kerajaan telah memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjung bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Maximus berkata, pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula menikmati rebat tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2018.

Menurutnya, kerajaan telah memberi subsidi bahan api dan tarif sebanyak RM1.631 bilion bagi pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018.

Beliau menyifatkan keputusan mengekalkan tarif itu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai bukti keprihatinan kerajaan yang sentiasa meletakkan kesejahteraan dan kepentingan rakyat sebagai teras sekali gus menepati usaha kerajaan untuk me­ngurangkan beban hidup mereka.

Mengulas mengenai perbezaan tempoh pengekalan kadar tarif itu, katanya, ini kerana Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan belum lagi menggunakan pelaksa­naan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Menurutnya, perkara tersebut sedang dalam peringkat perbincangan di antara Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sepatutnya, sistem berkenaan digunakan mulai Januari depan, tetapi kita difahamkan beberapa perkara perlu diselesaikan. Namun, kita berharap sistem berke­naan dapat dilaksanakan selepas Jun 2018.

“Walaupun pengguna tidak mengalami sebarang perubahan dalam jadual tarif bagi tempoh itu, namun mereka akan terus menerima bekalan elektrik susulan (pelaksanaan) lebih banyak infrastruktur pembekalan elektrik berasaskan teknologi terkini serta program sokongan oleh TNB,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, TNB merancang melaksanakan beberapa program sokongan termasuk pembangunan projek solar di 10 buah universiti awam utama dalam negara dengan jumlah kapasiti 200 megawatt (mW) serta program pendidikan berjumlah RM1 bilion bagi tempoh lima tahun bermula 2018.