RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA AHMAD YAACOB
RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA AHMAD YAACOB 

Pengerusi, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, pihaknya terkilan berikutan tular di media sosial klip video yang memaparkan pegawai-pegawai tertinggi badan perundangan negara menari dalam satu majlis makan malam sejak kelmarin.

Jelasnya, penglibatan individu-individu tersohor negara dalam majlis tersebut sangat bertentangan dengan budaya Malaysia apatah lagi mencemar budaya timur yang kaya dengan adab dan adat.

"Jika tiada pengawalan terhadap budaya ini, dibimbangi keadaan menjadi lebih parah sehinggakan merosakkan sistem perundangan negara yang sedia ada dan menjadikan hilangnya rasa hormat rakyat kepada pengamal perundangan.

"Pihak Serantau Muslim menyeru bahawa sudah tiba masanya negara kita memperkasakan tatacara pemegang dan pelaksana sistem keadilan mengikut acuan tersendiri dan meninggalkan budaya Inggeris yang cuba dikekalkan sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Video berdurasi seminit 37 saat itu dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu Sabah, memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Tommas menari 'twist' mengikut rentak irama sebuah lagu Inggeris, 'Let's Twist Again'.

Selain Malanjum dan Tommy, turut kelihatan menari-nari dalam majlis yang dipercayai dihadiri oleh para pengamal undang-undang itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam kontroversi seperti Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.

Sementara itu, tambah Raja Ahmad Iskandar, tindakan individu-individu itu dianggap melanggar tertib budaya seorang penguatkuasa undang-undang dan turut mengundang kontroversi dalam kalangan masyarakat.
 
"Tindakan kebaratan itu juga secara tidak langsung memberi imej buruk terhadap institusi perundangan negara yang mana ia sepatutnya dihormati kerana nilai-nilai yang dipegang mereka sejak dahulu lagi. 

"Mereka seharusnya menjaga etika dan ketertiban sebagai seorang yang berkredibiliti dalam masyarakat, bukan sebaliknya. Institusi perundangan negara adalah harapan tinggi rakyat kerana ia  yang sangat dihormati dan disegani dalam memberi teladan dan pengajaran kepada rakyat," katanya.-UTUSAN ONLINE.