Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu wajar diambil memandangkan sesetengah amalan yang dilakukan kumpulan itu sangat mengelirukan selain me­nyimpang daripada manhaj dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tambah beliau, hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak berhajat untuk campur tangan.

“Namun, saya berharap pihak berkuasa agama negeri-negeri mengambil tindakan sewajarnya mengikut enakmen dan perundangan Islam masing-masing dalam usaha mencegah penyebaran kumpulan tarekat. Jika memerlukan bantuan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), kami sentiasa bersedia untuk memberi pertolongan.

“Kami di KDN melihat daripada sudut keselamatan. Jika didapati wujud elemen-elemen yang mengancam keselamatan membabitkan tarekat berkenaan pastinya kita akan guna undang-undang di bawah akta sedia ada untuk bertindak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Stadium Mini Penjara Kajang di sini hari ini.

Beliau mengulas siri laporan khas Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhubung kemunculan tarekat baru yang mempunyai kaitan rapat dengan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah yang pernah difatwakan haram Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga menegaskan, pengharaman berkenaan pimpinan Sheikh Nazim Al-Haqqani yang diputuskan haram pada 3 April 2000 tidak pernah ditarik balik atau dibatalkan sehingga kini.