Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, sel pertama tapak pelupusan yang berkeluasan 1.82 hektar mula dibina bermula semalam bernilai RM16.5 juta.


Sel kedua dan ketiga kata beliau, melibatkan kawasan seluas kira-kira 7.16 hektar bernilai RM45 juta akan mula beroperasi mulai awal tahun hadapan.


“Ketiga-tiga sel ini adalah pelan tindakan segera kerajaan bagi mengatasi masalah tapak ini yang sudah kritikal dan kesemua tiga sel iaitu 1A, 1B dan 1C terletak bersebelahan tapak sekarang.


“Untuk perancangan jangka panjang, kerajaan akan membina sel keempat iaitu 1D yang pada masa akan datang seluas 4.6 hektar dan kita juga akan membina sistem pelupusan insinerator selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pelupusan sampah tersebut yang sebelum ini dilaporkan hanya mampu bertahan untuk tempoh sebulan atau dua bulan sahaja di Sungai Udang di sini hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman. - UTUSAN ONLINE