Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, dalam perancangan bandar yang dikeluarkan MPAJ, jelas menunjukkan tapak tersebut adalah pasar dan setelah disemak, ia masih berstatus sama sehingga hari ini serta belum ditukar untuk tujuan ko­mersial.

Menurutnya, apabila peniaga mengajukan perkara itu kepada MPAJ, mereka mendakwa tanah itu telah disewakan kepada Star Club 88 Sdn. Bhd. selama 12 tahun yang merupakan syarikat baharu ditubuhkan pada tahun lalu yang menjalankan aktiviti perniagaan pusat hiburan.

“Jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa, penyelewengan dan unsur rasuah oleh wakil rakyat DAP dan MPAJ yang meluluskan pembinaan pusat hiburan oleh syarikat tersebut di atas tapak pasar.

“Kami telah mengumpulkan semua bukti dan bakal menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan tapak pasar tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Taman Muda, Chow Chee Keen bersama lebih 30 peniaga pasar Taman Muda serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdapat lebih 35 peniaga pasar beroperasi hampir 35 tahun ketika ini di tepi jalan yang sering mempunyai masalah menghalang laluan kenderaan, tempat letak kereta, kebersihan dan sebagainya.

Azwanddin berkata, pelan pembangunan yang dikeluarkan pada 2012 menetapkan lokasi tersebut sebagai pasar, namun apa yang berlaku kini sebaliknya.